Wednesday, 13 February 2013

DERHAKA KEPADA IBU

Dalam satu kisah yang hendak dipaparkan di sini ialah satu kisah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah s.a.w., datang seorang wanita yang muram wajahnya kemudian berkata kepada Nabi s.a.w., ‘’Wahai Rasulullah, sesungguhnya suamiku sekarang berada di dalam keadaan tenat dan sedang menghadapi saat kematian yang telah hampir tiba. Dia sekarang sedang berjuang dengan sakaratulmaut. Maka sebab itulah aku datang untuk memberitahumu tentang keadaan-Nya,Ya Rasulullah s.a.w.’’ Nabi pun berkata, pergilah wahai (Bilal, Ali dan Salman Al-Farsi) melihat keadaan Al-Qamah, bagaimanakah keadaannya.’’ 

 Maka sahabat-sahabat Nabi pun berangkatlah ke rumah Al-Qamah. Maka mereka semua melihat Al-Qamah dalam keadaan tenat,dengan itu mereka cuba membisikan ke telinga Al-Qamah kalimah tauhid iaitu:
 



‘’ Asyhadu allaa ilaaha illallaah Wa asyhadu anna Muhammadar Rasuulullaah’’

Secara bergilir-gilir oleh para sahabat,akan tetapi lidahnya tidak bergerak dan kaku membisu seribu bahasa. Mulutnya seolah-olah terkunci dan tidak boleh mengucapkan kalimah tersebut.

Melihat akan keadaan itu,maka para sahabat merasa cemas dan resah mengapa boleh terjadi keadaan yang sebegini,sedangkan Al-Qamah merupakan seorang yang takwa,taat dan patuh kepada perintah Allah s.w.t. dan Rasul-Nya. Alangkah malangnya nasib Al-Qamah, jika keadaan ini berterusan sehingga dia menghembuskan nafas yang terakhir.

Para sahabat merasa bimbang dan cemas akan keadaan A-Qamah yang sedemikian kalau-kalau Al-Qamah terus-menerus dengan keadaan begitu sampai akhir hayatnya. Para sahabat kehairanan kenapa dan mengapa Al-Qamah tidak dapat menyebut kalimah thaiyibah yang diajar berulang kali yang telah dilakukan oleh mereka. Apakah sebab dan musababnya. Apakah dosa yang telah dilakukan oleh Al-Qamah selama ini. Semua sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya.

Maka para sahabat menyuruh Bilal menyampaikan keadaan tersebut kepada Rasulullah s.a.w. Apabila Bilal berjumpa dengan Rasulullah, maka dia berkata kepada Nabi s.a.w.,’’Wahai Rasulullah,sesungguhnya Al-Qamah dalam keadaan tenat akan tetapi beliau tidak dapat menyahut dan menyebut kalimah syahadah. Sedangkan mulutnya tertutup rapat seolah-olah dia tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Maka Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Bilal,’’ Adakah ibunya masih hidup.’’ Jawab Bilal, ‘’ibunya masih hidup.’’ 


 Maka nabi s.a.w berkata kepada Bilal, ‘’pergilah engkau menemui ibu Al-Qamah dan sampaikan salamku kepadanya. Katakan kepadanya, kalau ia berupaya maka datanglah kepadaku dan kalau tidak berupaya biar aku yang datang berjumpa dengannya.’’

 Justeru, Bilal bersegeralah pergi berjumpa dengan ibu Al-Qamah. Lalu menyampaikan pesanan Nabi kepada ibu Al-Qamah.Apabila ibu Al-Qamah mendengar pesanan itu, maka cepat-cepat dia mengambil tongkatnya dan bersegera untuk berjumpa Rasulullah s.a.w. Dia tidak mahu kalau Nabi sendiri yang datang berjumpa dengannya. Apabila ibu Al-Qamah sampai dan duduk dihadapan Nabi s.a.w maka dia memberi salam kepada baginda Rasulullah s.a.w.

Berkata Nabi kepadanya, ‘’ Berkata benarlah wahai ibu Al-Qamah,sebab jika kamu berbohong dan berdusta,maka nanti akan turunlah wahyu daripada Allah. ‘’ Nabi bertanya lagi, ‘’Ceritakanlah kepadaku keadaan sebenar tentang Al-Qamah.’’

 Si ibu menjawab, ‘’Ya Rasulullah, Al-Qamah adalah seorang yang selalu solat dan suka beribadat kepada Allah,selalu mengerjakan amalan,puasa yang wajib atau sunat,dia suka bersedekah(tidak diketahui jumlahnya) dan suka beramal soleh dan sentiasa mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.’’

 Nabi bertanya lagi, ‘’Apakah persoalan yang ada di antara engkau dan Al-Qamah?’’
Jawab ibu Al-Qamah, ‘’sesungguhnya aku,Ya Rasulullah, sangat marah dan kesal akan sikap dia selama ini.’’ Nabi bertanya meneruskan soalannya, ‘’Apakah yang menyebabkan engkau marah kepada anakmu sampai engkau marah begitu sekali.kenapa dan mengapa dan cuba engkau beritahu aku.’’

Ibu Al-Qamah menerangkan kepada Nabi s.a.w.katanya, ‘’ Setelah dia berkahwin,dia telah melupakan aku. Dia telah menyayangi isterinya dan taat kepada nasihat isterinya daripada mentaati perintah dan nasihat aku. Dia tidak mengendahkan nasib aku ini.’’

 Baginda s.a.w pun faham dan mengertilah akan keadaan yang sebenarnya. Oleh kerana itulah Al-Qamah tidak dapat menyebut kalimah syahadah kerana Al-Qamah menderhaka kepada ibunya dan ibunya tidak mengampunkan segala kesalahannya,dosa dan kesilapan Al-Qamah.

Penderhakaan kepada ibunya dan si ibu tidak ingin memaafkan kesalahan anaknya adalah menjadi punca dan sebabnya. Jadi apabila semuanya sudah terjawab, Rasulullah s.a.w memerintahkan Bilal dengan katanya, ‘’Wahai Bilal, pergilah engkau mencari kayu api sebanyak-banyaknya dan kemudian kumpulkan dihadapan rumah Al-Qamah untuk membakar sahaja Al-Qamah hidup-hidup daripada kita membiarkannya berada dalam keadaan yang terseksa dan azab begitu.’’

Mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w. maka ibu Al-Qamah pun berkata, ‘’Ya Rasulullah,dia adalah anakku,buah hatiku,maka engkau hendak membakar anakku di hadapan mataku sendiri!’’

 Rasulullah pun menjawab, ‘’Benar wahai ibu Al-Qamah,ketahuilah bahawa azab Allah s.w.t lebih berat dan kekal buat selama-lamanya,jika engkau tidak mengampuni dan meredhai akan kesalahannya selama ini.’’

 Kemudian Rasulullah s.a.w. dengan hati yang gembira dan sukacitanya menyuruh Bilal pergi melihat keadaan Al-Qamah pada waktu itu katanya, ‘’Wahai Bilal,pergilah engkau melihat keadaan Al-Qamah,apakah dia masih dalam keadaan sebelumnya atau bagaimana?’’

Apabila Bilal sampai,maka dia mendengar Al-Qamah mengucapkan kalimah ‘’Laillahaaila’llah Muhammadur Rasulullah.’’ selang beberapa waktu, maka Al-Qamah pun dapat menghembuskan nafasnya yang terakhir. Beliau meninggal dunia untuk menghadap Tuhan yang Maha Esa. Kembali kehadrat illahi.

Kembali seorang hamba Allah Kepada pencipta-Nya.

‘’Tunggu sekejap…..
Tenangkan fikiran…..
Hayati cerita dan kisah ini dengan
Penuh keinsafan…..
Renunglah ke dalam diri kita…..
Dan tanyalah beberapa soalan dan kita
Jawablah dengan keikhlasan…..’’


1) Apakah yang telah kita lakukan kepada ibu kita selama ini?

2) Apakah telah memadai dengan kebaikan yang telah dilakukan kepada ibu kita selama ini?

3) Atau apakah kita selalu menyakiti hati ibu?

4) Adakah ibu menyimpan dendam kepada kita?

5) Adakah kita masih menyusahkan ibu kita?


Kalau inilah berlaku,maka segeralah bertemu dan berjumpa dengan ibu kita untuk memohon ampun dan maaf sementara dia masih diberi kesempatan untuk menyedut udara Allah ini dan sementara dia diberi oleh Allah kekuatan untuk memaafkan kita…..

Dengarlah nasihat ini dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Saya juga ingin memperingati untuk diri saya dan saudara yang seagama denganku bahawa kita semua akan menempuhi di suatu hari nanti iaitu hari kematian yang kita belum tempuhi dan lalui melainkan oleh mereka yang telah dahulu meninggalkan kita.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

‘’keberangkatan mayat itu diiringi oleh tiga perkara iaitu keluarganya,harta bendanya dan amal perbuatannya.Dua daripadanya akan kembali pulang dan sutu daripadanya akan tetap bersamanya. Yang pulang adalah keluarga dan harta bendanya sedang yang tinggal adalah amal perbuatannya.’’ (H.R Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah lg :

‘’Dosa yang paling besar dan berat ialah menyekutukan Allah,derhaka kepada kedua ibu bapa dan membunuh orang.’’ ( Riwayat Anas)

Di dalam hadis yang lain, sabda Nabi s.a.w. bermaksud :

‘’Yang terlebih azab bagi manusia dalam neraka ada tiga jenis iaitu :

1) Orang-orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya.

2) Orang-orang yang melakukan zina.

3) Orang-orang yang mempersekutukan Allah s.w.t.


Diceritakan bahawa ketika seseorang itu akan menghadapi mati , maka iblis akan memerintahkan kepada bala tenteranya, khususnya syaitan-syaitan yang ditugaskan kepada manusia itu. syaitan itu akan mengunjungi orang yang sedang menghadapi dan berdepan sakaratulmaut iaitu orang yang sedang dalam keadaan yang mabuk dan nazak serta sangat kritikal, maka mereka akan menyamar menyerupai orang-orang yang mereka sayangi semasa hidup di dunia seperti ibu dan bapa yang telah mati atau anak, isteri dan sesiapa sahaja yang mereka kasih.

Syaitan-syaitan yang menyamar ini akan duduk disebelah kanan dan kiri mereka, sambil mengusap-ngusap kepala orang yang sedang nazak itu dengan memujuk dan merayu katanya, ‘’ mungkin engkau akan mati sebentar lagi dan kami telah merasainya terlebih dahulu sebelum daripada kamu dan kami merasakan bahawa mati sebagai seorang yahudi atau baik, engkau mati dalam keadaan yahudi atau Nasrani sahaja. Cara begini dan begini.....diajar pada orang yang sedang nazak itu. Mudah dan tidak menyulitkan.’’

Syaitan-syaitan ini akan berusaha sedaya upaya untuk menyesatkan orang yang sedang nazak tersebut supaya matinya dalam keadaan musyrik atau kafir. Mereka tidak akan berganjak dari tempat duduk mereka sehingga orang itu mati. Mereka akan berusaha dengan apa cara sekalipun. Memujuk dan merayu-rayu dengan suara yang lemah lembut. Pujukan dan rayuan mereka tidak didengar oleh manusia lain melainkan orang yang sedang nazak itu.

Alangkah gembiranya hati mereka, jika orang itu mati mengikut cara yang telah mereka ajarkan. Keadaan ini menyebabkan orang yang sedang nazak terkeliru dan serba salah, tambahan pula jika orang itu terlalu kurang iman dan kebaikan semasa hidupnya di dunia ini. Jika beginilah keadaannya yang akan berlaku, maka marilah kita sama-sama menyedari dan menginsafi diri sendiri.

Marilah kita mempersiapkan diri dengan melakukan sebanyak-banyak amalan kebaikan bagi menangkis pujukan dan rayuan jahat syaitan. Mempersiapkan diri dengan iman dan takwa kepada Allah. Semoga Allah akan memberikan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada kita. Semoga Allah akan mengampunkan segala dosa dan kesalahan kita. Marilah kita bertaubat dengan taubat nasuha, menyesali dan berikrar tidak akan meneruskan maksiat dan kejahatan, mendidik diri menjadi seorang hamba yang taat dan patuh kepadaa perintah Allah dan Rasul-Nya.

Firman Allah s.w.t surah Al-Baqarah: 268



‘’ syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (bakhil), sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan dariNya dan kurniaanNya. Dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha mengetahui.’’



Firman Allah s.w.t surah Al-Baqarah:169

 

‘’ sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui ’’

Ketahuilah wahai saudara yang seagama denganku,bahawa dikatakan orang yang sedang nazak itu berada dalam keadaan dahaga yang teramat sangat yang tidak boleh digambarkan keadaannya,malah ada setengahnya mengatakan bahawa sehebat-hebat orang yang sedang nazak itu, dia akan merasa sangat dahaga dan merasakan seolah-olah hatinya bagaikan terbakar.

Maka dikesempatan itulah syaitan akan datang kepadanya dengan membawa semangkuk air untuk diberikan kepada orang mukmin yang sedang nazak dan berkatalah orang mukmin tersebut, ‘’Berikanlah air itu kepadaku.’’ Sedangkan dia tidak tahu bahawa orang yang membawa air itu adalah syaitan. Maka syaitan akan berkata kepadanya:

‘’katakanlah bahawa tidak ada orang yang menciptakan alam ini,jika engkau berkata demikian aku akan berikan air ini,’’
Begitulah tipu daya syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan orang-orang mukmin sehingga di sakaratulmaut.

Firman Allah, surah Al-A’raaf: 16-17

 

 ‘’iblis berkata, ‘’kerana engkau telah menghukum aku tersesat,maka aku benar-benar akan menghalang mereka dari jalan engkau yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan engkau tidak akan mendapati kebanyakkan mereka bersyukur (taat) ’’

Ketahuilah wahai saudara yang seagama denganku bahawa sesungguhnya kita semua akan menempuhi satu hari iaitu hari kematian yang kita belum tempuhi dan lalui melainkan oleh mereka yang telah dahulu meninggalkan kita.


No comments:

Post a Comment